Thursday, February 16, 2012

WASIAT RASULULLAH KEPADA SAIDINA ALI

Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, "Rasulullah saw berwasiat kepadaku dengan sabda Baginda":

"Ya Ali! Tidak ada kefakiran yang lebih hebat daripada kebodohan. Tidak ada harta yang lebih berharga daripada aqal. Tidak ada kesepian yang lebih sunyi daripada ujub (rasa kagum pada diri sendiri). Tidak ada kekuatan yang lebih hebat daripada musyawarah. Tidak ada wara' yang lebih baik daripada menahan diri. Tidak ada keindahan selain akhlak dan tidak ada ibadah yang melebihi tafakur."

"Ya Ali! Segala sesuatu itu ada penyakitnya. Penyakit berkata-kata adalah bohong. Penyakit ilmu adalah lupa. Penyakit ibadah adalah riak. Penyakit akhlak adalah memuji diri sendiri. Penyakit pemurah adalah menyebut-nyebut pemberian. Penyakit bangsawan adalah merasa bangga. Penyakit malu adalah lemah. Penyakit mulia adalah menonjolkan diri. Penyakit kaya adalah kikir dan berlebih-lebihan, dan penyakit agama adalah hawa nafsu."

"Ya Ali! Perbanyakkanlah membaca Surah Yassin, kerana dalam membacanya itu terdapat sepuluh macam keberkatan. Tidak ada orang yang membacanya waktu lapar atau puasa melainkan kenyang. Haus kecuali hilang hausnya. Tidak memiliki pakaian melainkan ia akan memperolehi pakaian. Merasa takut kecuali datang rasa aman. Di penjarakan melainkan ia akan keluar dari penjara. Bujang melainkan ia akan berkahwin. Sewaktu musafir matanya menjadi terang dalam perjalanan. Tidak membacanya orang yang kehilangan sesuatu benda melainkan mendapatkannya kembali. Tidak dibacakan ia ke atas orang yang akan hampir ajalnya melainkan diringankan baginya. Barangsiapa yang membacanya di waktu subuh nescaya ia akan aman sehingga petang, dan barangsiapa yang membacanya di waktu petang nescaya ia akan berada di dalam keadaan aman sehinggalah waktu pagi."

"Ya Ali! Bacalah Surah Hammim Ad-Dukhaan pada malam Jumaat, nescaya Tuhan memberikan keampunan kepadamu."

"Ya Ali! Bacalah Surah Hasyar nescaya engkau berkumpul pada hari kiamat dalam keadaan aman dari segala sesuatu."

"Ya Ali! Bacalah Surah Tabaraka dan As-Sajadah nescaya berkat keduanya engkau diselamatkan Tuhan daripada bahaya hari kiamat."

"Ya Ali! Bacalah Qulhuwallahu Ahad dalam keadaan engkau berwudhuk, nescaya engkau akan di seru pada hari kiamat; Hai pemuji Tuhan! Bangkitlah, maka kemudian masuklah ke dalam syurga!"

"Ya Ali! Bacalah Surah Al-Baqarah, kerana sesungguhnya dalam membacanya itu ada membawa keberkatan, dan tidak mahu membacanya membawa penyesalan.

"Ya Ali! Janganlah engkau bersetubuh dengan isterimu pada malam bulan sabit baru muncul, dan jangan pula pada pertengahan bulan, kerana di khuatirkan anakmu akan cacat."

Aku (Ali) bertanya: Kenapa demikian ya Rasulullah? Jawap Baginda: "Kerana Jin banyak mendatangi wanita-wanita pada malam tengah bulan dan pada malam Hilal (bulan sabit). Apakah engkau tidak perhatikan bahawa orang-orang gila itu boleh muncul penyakitnya kembali pada malam tengah bulan dan malam Hilal itu?

"Ya Ali! Jauhilah sengketa, kerana ia akan menghapuskan amalan-amalan engkau."

"Ya Ali! Segeralah bersedekah, kerana bala bencana itu tidak dapat melangkah mendahului sedekah."

7 CARA BERSAHABAT KERANA ALLAH

1.Memberitahu temannya bahawa dia kasih dan suka kepadanya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Jika seseorang kasih kepada seseorang makan hendaklah dia memberitahu temannya'
(HR Abu Daud)


2.Apabila berpisah dengan seseorang maka hendaklah dia mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuannya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Setiap hamba muslim yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuannya pasti akan didoakan malaikat dengan berkata engkau juga akan mendapat seumpamanya'
(HR Muslim)





3.Sentiasa bermanis muka ketika berjumpa sahabatnya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Janganlah kamu meremehkan kebajikan sedikit pun , sekalipun dengan berjumpa temanmu dalam keadaan wajah yang ceria'
(HR Muslim)


4.Segera bersalaman ketika bertemu dengan temannya
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Setiap dua orang Islam yang berjumpa dan bersalaman pasti akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah'
(HR Abu Daud)


5.Amalan ziarah-menziarahi
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Hendaklah kamu menziarahi sesekali nescaya akan menambas kasih sayang antara kamu'


6.Memberi Hadiah
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang'
(HR Thabrani)


7.Membantu sahabat-sahabatnya dalam kesusahan
Nabi Muhammad S.A.W bersabda
'Orang yang berjalan untuk menunaikan hajat sahabatnya lebih baik daripada orang yang beriktikaf selama 2 bulan'